Ibadah

Amalan yang menjadi ibadah
Pengenalan:
Ramai yang bertanggapan bahawa ibadah itu adalah sembahyang, zakat, puasa dan haji sahaja, dan segala rangkai-rangkaiannya; kalau ada yang berpandangan lebih jauh maka dimasukkan juga seperti sedekah dan menolong orang.
Sebenarnya erti ibadah itu sangat luas. Apa sahaja yang kita lakukan jika yang tidak dilarang boleh menjadi ibadah setelah memenuhi kriteria yang akan diterangkan kemudian.
Hukum Allah hanya ada dua sahaja iaitu yang diperintahkan dan yang dilarang, cuma kemudiannya para ulama terdahulu telah memecahkan kepada lima: yang diperintahkan itu adalah perkara-perkara yang wajib dan sunat, kemudian yang harus pula, manakala yang dilarang itu adalah perkara-perkara haram dan makruh; jadi sekarang kita mempunyai lima hukum dalam Islam iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Yang dilarang ialah yang makruh dan haram, yang lain adalah dibenarkan. Jadi apa sahaja yang kita lakukan asalkan dari kategori yang bukan dilarang, boleh menjadi ibadah.

5 syarat menjadi ibadah:
  1. Niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata,
  2. Produknya, atau benda yang hendak dilakukan itu bukan dari kategori yang dilarang,
  3. Perlaksanaannya mesti betul,
  4. Natijahnya mesti betul, dan
  5. Tidak meninggalkan perkara-perkara asas.

Justeru, amalan-amalan yang yang kita lakukan itu jika tidak memenuhi kelima-lima syarat ini maka tidak boleh diiktiraf sebagai amalan Islam, malah dianggap amalan jahiliah, amalan yang tidak diterima Allah swt. Sekarang kita lihat satu persatunya:
Niat: Katalah dalam dunia perniagaan, niat kita haruslah yang menyambut seruan Allah swt, dengan kata lain menunaikan perintah Allah, misalnya kita berniaga itu demi untuk membantu anggota masyarakat, dengan kata lain, perniagaan kita itu yang mendatangkan manfaat kepada umat, niatnya adalah yang memenuhi keperluan asas kehidupan, jika perniagaan yang dalam kategori perkhidmatan seperti perubatan, penulisan, guaman, dan sebagainya, niatnya mestilah yang memenuhi keperluan anggota masyarakat. Dengan kata lain perniagaan kita itu biarlah yang membantu anggota masyarakat Islam untuk mendapat keperluan asasnya, bukan yang menjurus kepada kehancuran anggotanya.
Misalnya, bidang perubatan, jika dalam satu-satu kariah itu belum ada doktor Islam, maka sesiapa yang memenuhi keperluan itu demi untuk Allah maka akan jadi ibadah; atau jika sesebuah kampung itu bermasalah mendapatkan sayur, maka sesiapa yang menanamnya akan menjadi ibadah; atau menyediakan pengangkutan anak-anak sekolah akan jadi ibadah kerana Allah memerintahkan kita memberi kemudahan kepada umat.
Produk: Produknya mesti yang halal, atau sesuatu yang kita lakukan itu adalah bukan dari kategori yang dilarang. Tentang produk halal tidak perlulah dihuraikan kerana sangat mudah difahami, tetapi dari sudut amalan itu tadi, misalnya, menghisap rokok sama bila pun tidak boleh menjadi ibadah kerana ianya dilarang walaupun ianya setakat makruh, lebih-lebih lagi yang jelas terlarang seperti memfitnah, membohong dan memanipulasi berita.
Perlaksanaan: Iaitu cara kita menjalankannya, jika perniagaan ialah cara kita menjalankan perniagaan itu. Mengikut Islam, biarlah dijalankan secara jujur, amanah, bersih dari amalan riba dan sebagainya. Jika produk kita halal misalnya mengumpul dana untuk membantu orang miskin dan sebagainya, bagaimanakah caranya? Tidak menjadi ibadah jika kita lakukan dengan cara yang mengandungi unsur-unsur kemungkaran seperti melibatkan perjudian, konsert yang diragukan, paksaan dan sebagainya.
Natijah: Jika perniagaan, hasil dari perniagaan kita itu untuk apakah digunakan. Jika untuk tujuan yang diredai Allah maka akan menjadi ibadah, tetapi jika sebaliknya digunakan untuk berjudi, atau membiayai kerja-kerja melakukan fitnah, pembohongan, mengupah pembunuhan, menyediakan tempat untuk penyeludupan, dan sebagainya maka tidak akan menjadi ibadah.
Keuntungan dari perniagaan itu kita tidak lupa untuk mengeluarkan zakatnya, mengeluarkan sebahagian daripadanya untuk membantu orang miskin (bukan zakat ya), maka akan jadi ibadah.
Perkara-perkara asas: Dalam kesebokan menjalankan perniagaan, atau mencari derma, atau menjalankan dakwah itu tidak meninggalkan tanggungjawab yang asas, seperti meninggalkan sembahyang, tangungjawab keluarga dan ibu bapa.

Niat
Apakah kita berniat setiap kali hendak melakukan sesuatu? Ini perkara pokok untuk sesuatu amalan itu menjadi ibadah: tanpa niat kerana Allah maka amalan itu tidak menjadi ibadah, jika tidak hanya akan menjadi amalan adat (tidak mendapat pahala). Sebuah hadis oleh Bukhari dan Muslim menyebut, 'Hanya sanya amalan-amalan itu adalah sah dengan niat, dan adalah setiap seseorang itu apa yang dia niatkan'.
Contoh: dua orang yang singgah ke masjid, yang seorang duduknya dengan niat iktiqaf, manakala yang seorang lagi tidak berniat apa-apa, maka yang berniat itu duduknya menjadi ibadah berbanding yang seorang lagi.
Apakah maksud kerana Allah bagi niat yang ikhlas itu? Maksudnya ialah disandarkan kepada hukum Allah swt, atau hadisnya. Dengan kata lain, kita melakukan sesuatu itu kerana ada hukum yang memerintahkannya atau melarangnya, jika bukan ayat-ayat al-Quran maka hadis Rasulullah saw.
Amalan-amalan yang wajib, sunat atau harus, jika kita lakukan kerana perintah Allah, atau meninggalkan yang dilarang-Nya akan menjadi ibadah. Untuk amalan yang wajib dan sunat sudah jelas memang akan menjadi ibadah jika disertakan dengan niat kerana Allah.
Yang sering menjadi persoalan ialah perkara-perkara yang harus. Misalnya, pernah disebut dalam riwayat ada seorang hamba Allah bernazar untuk berjemur di tengah panas: berjemur itu hukumnya hanya harus, tetapi kerana disandarkan kepada hukum melaksanakan nazar itu maka jadi ibadah, jika niatnya ialah menunaikan nazar. Tetapi perlaksanaannya biar betul, misalnya jangan sampai mencederakan diri, sehingga menjejas kesihatannya misalnya.

No comments: