19 June 2017

Qada', qadar, taqdir



Qada’ ertinya kehendak (kehendak Allah), dengan lain perkataan ialah hajat. Jadi qada’ itu ialah hajat Allah swt menjadikan sesuatu. Manakala qadar itu adalah sukatannya atau biasa disebut ciri-ciri sesuatu ciptaan.
Kita ambil satu contoh ciptaan Allah yang berada di depan mata iaitu air. Ujudnya air itu adalah kehendak atau hajat Allah menjadikannya. Ini adalah qada’ Allah swt. Qadarnya atau sukatannya ialah ciri-ciri air itu. Ilmu sains mengklaskan air itu adalah sebagai bendalir yang tidak hidup. Ciri-ciri air antaranya ialah cenderung mengalir ke tempat yang lebih rendah, sentiasa mengalami proses sejatan menjadi wap dan bergerak naik ke atas, wap air yang tersejuk akan mengalami satu proses lain iaitu pelowapan yang hasilnya ialah hujan.
Ciri-ciri air itu tadi berkekalan sampai bila-bila, tidak mungkin berubah. Misalnya air tidak akan berhenti meng-alir, atau sebaliknya mendaki ke tempat lebih tinggi. Jadi air berterusan tunduk patuh dalam keadaannya yang sedia ada.
Sesetengah ulama’ menyebut bahawa qada’ ada dua jenis, iaitu qada’ Mubram dan qada’ Muallaq. Qada’ Mubram ialah ketentuan Allah yang pasti berlaku, dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apapun. Misalnya kematian.
Qada’ Muallaq ialah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara yang lain. Contohnya lapar. Kelaparan boleh dielakkan dengan makan. Jadi air itu tadi adalah contoh qada’ mubaram.

Qadar ialah sukatannya ialah ciri-ciri air itu. Mengikut sains air itu adalah bendalir yang tidak hidup. Ciri-ciri air antaranya ialah cenderung mengalir ke tempat yang lebih rendah, sentiasa mengalami proses sejatan menjadi wap dan bergerak naik ke atas, wap air yang tersejuk akan mengalami satu proses dipanggil pelowapan yang hasilnya ialah hujan.
Satu contoh lain ialah tumbuhan. Qada’ Allah ialah mencipta tumbuhan. Sukatannya ialah seperti yang dijelas-kan oleh sains, antaranya ialah pucuknya cenderung mencari sumber cahaya matahari (ini disebut fototropism) manakala akarnya pula cenderung mencari bumi (disebut geotropism). Ketetapan yang ditentukan Allah ialah membina makanan untuk manusia dan haiwan melalui proses fotosintisis. Air dan tumbuhan berterusan tunduk patuh dalam keadaannya mengikut sukatan yang ditentukan.
Taqdir (atau takdir) ialah kesan dan akibat dari qada’ dan qadar itu tadi. Misalnya banjir. Banjir adalah kesan dari sifat atau ciri-ciri air yang cenderung mencari tempat yang lebih rendah. Air yang mengalir ke tempat rendah itu tadi akan berkumpul di tempat yang paling rendah pada satu-satu masa. Jika jumlahnya melebihi adat maka berlakulah banjir.
Tanah runtuh adalah kesan dan akibat dari beberapa qada’ dan qadar. Ianya melibatkan air dan daya tarikan graviti. Ianya melibatkan air dan daya tarikan graviti. Tanah runtuh adalah disebabkan oleh pergerakan tanah dari atas ke tempat yang lebih randah. Ini adalah kesan-akibat (takdir) dari graviti itu. Pergeraan tanah berlaku kerana air dari atas bukit bergerak turun menyelinap ke dalam rongga-rongga tanah yang tujuannya mencari tempat yang lebih rendah. Keadaan ini menyebabkam tanah menjadi longgar, dan daya tarikan graviti pula menariknya ke bawah, maka terjadilah gelongsoran tanah yang dipanggil tanah runtuh itu.
Satu contoh lagi misalnya kencing manis. Kencing manis adalah disebabkan oleh kelenjar insulin iaitu pankreas yang tidak normal. Oleh kerana tidak normal maka ianya tidak dapat mengeluarkan insulin yang mencukupi untuk meng-atur paras gula dalam darah. Lebihan gula dalam darah menyebabkan seseorang itu kena kencing manis. Sesetengah orang pula mempunyai pankreas yang terlalu aktif mengeluarkan insulin berlebihan. Kesan dan akibatnya ialah hypo iaitu paras gula dalam darah menjadi lebih rendah dari kadar biasa.

Bencana: apakah yang harus diredhai. Apabila seseorang ditimpa musibah banjir selalunya kita dengar ucapan sabarlah atau redhalah dengan ketentuan Allah. Betul-kah pemikiran sebegini. Sebenarnya apakah bendanya yang hendak kita redhai. Adakah kita meredhai musibah banjir itu!
Frasa kata redhalah itu seolah-olah menghendaki kita agar menerima sahaja apa yang berlaku. Dengan kata lain ianya bermaksud apa yang boleh kita buat, kita terima sahajalah. Adakah ini sikap yang harus kita ambil terhadap sesuatu bencana! Adakah munasabah kita dikehendaki redha mendapat musibah. Inilah implikasi yang terbit dari silap faham tentang qadar, qadar. Yang harus kita redhai ialah qada’ dan qadar air itu.
Qada’ dan qadar adalah ketetapan atau ketentuan Allah swt. Bagi manusia ianya boleh dilihat sebagai peraturan, peringatan, amaran dan sebagainya. Misalnya, kita telah bincangkan dengan ketentuan Allah bumi ini berpusing dua puluh empat jam sehari, walaupun berat boleh terapung dan berada dalam orbitnya, bumi mempunyai daya tarikan graviti, tumbuhan memerlukan cahaya matahari untuk fotosintisis dan membesar. Bagi makhluk yang tidak hidup juga mempunyai tabii masing-masing. Ketentuan-ketentuan inilah qada’ dan qadar bagi makhluk-makhluk tersebut. Kesemua-nya ini kita namakan sunnatullah.
Ketentuan-ketentuan Allah swt ini akan memberi kesan dan akibat sama ada dengan sendirinya, atau dalam bentuk pakej dua tiga ketentuan. Inilah apa yang selalu disebut dengan frasa kata yang dikehendaki-Nya. Jadi jangan silap faham bahawa maksud yang dikehendakinya itu ialah Allah memilih-milih sasaran tertentu untuk dijadikan mangsa sesuatu peristiwa. Misalnya, hari ini dan pada saat anda membaca ini Allah memilih Si A itu akan mengalami stroke, besok pula Allah akan memilih Si B pula akan demam, dan sebagainya.
Stroke berlaku kepada seseorang adalah kesan dan akibat dari perbuatan manusia sendiri, yang melanggar ketentuan Allah. Maknanya segala sesuatu yang terjadi dan peristiwa-peristiwa yang berlaku adalah akibat daripada tindakan-tindakan manusia yang bertentangan dengan ketentuan dan ketetapan Allah swt.
Misalnya, katalah Allah telah menetapkan bahawa sesiapa yang tidak mengamalkan diet seimbang akan mendapat penyakit, jadi apa yang berlaku kepada A tadi adalah kesan dan akibat dari ketetapan ini. Bagi Si B pula, jika Allah telah menetapkan orang yang dijangkiti kuman akan demam, maka demam B itu adalah kesan dan akibat dari ketetapan ini.
Jasad manusia terbina daripada sistem otot, tulang, sistem saluran darah, sistem sarap, sistem pernafasan, sistem perkumuhan, sistem penghadaman, dan sebagainya. Pendek kata seseorang manusia itu dijadikan mengikut sistem anatomi masing-masing – kekuatan dan kelemahan masing itu adalah ketetapan Allah. Inilah faktor yang menentukan perjalanan, gerak-geri, dan kelakuannya.
Dengan segala ketetapan itu manusia hanya akan dapat bergerak, kuat-lemah, sihat-sakit, cerdik-moron atau apa sahaja bergantung kepada sistem anatomi itu tadi. Inilah yang dimaksudkan yang dikehendaki-Nya. Jadi manusia tiada pilihan lain. Misalnya manusia tidak boleh mengubah-ansur dirinya menjadi kuat berlari, mengubah otaknya supaya dapat mengesan gelombang radio, mengesan tanda-tanda akan berlakunya tsunami sepertimana ikan di laut dan sebagainya.
Kelajuan atau kekuatannya berlari juga adalah tertakluk kepada sistem-sistem yang dikurniakan-Nya. Misalnya jika Allah menetapkan seseorang itu mempunyai peparu yang kecil dan tidak cekap pula, kesannya ialah orang ini tidak boleh berlari jauh misalnya.
Ketetapan Allah adalah mengikut qada’ dan qadar tertentu: qada’ itu pemberian-Nya, manakala qadar adalah ciri-ciri sukatannya, kualiti, kualitinya, manakala kesan dan akibatnya dinamakan takdir.
Contohnya dalam kejadian tanah runtuh. Tanah runtuh ada-lah kesan dan akibat (takdir) dari beberapa ketetapan yang berikut:
·      Graviti, yang sifatnya ialah mempunyai kuasa tarikan. Setiap benda akan tertarik ke bawah oleh graviti,
·      Air, yang sifatnya cenderung mencari tempat yang lebih rendah, molekulnya halus dan boleh menyelinap di celah-celah butiran tanah,
·      Momentum, yang sifatnya adalah bergantung kepada formula ms (m ialah berat, dan s ialah kelajuan pergerakan), jadi benda yang berat dan bergerak laju akan menghasilkan momentum yang tinggi.
Graviti, air dan momentum adalah qada’ Allah swt, dengan sifat-sifatnya seperti yang tersebut; qadarnya: ditempat yang lebih tinggi tarikan graviti semakin berkurangan, bagi air lebih banyak air akan menghasilkan momentum yang lebih besar kerana lebih berat.
Jika ketiga-tiganya hadir pada satu-satu tempat seperti di lereng-lereng bukit yang gondol maka terhasillah kesan dan akibatnya (takdir). Mengapa lereng bukit? Mengikut ilmu sains daya yang melawan tarikan graviti lebih lemah kerana curam (bersudut) jika dibandingkan dayanya di tanah rata – ini juga satu qadar bagi daya tahan tarikan graviti.
Jadi takdir adalah kesan dan akibat dari qada dan qadar. Allah tidak menentukan takdir seperti banjir, tanah runtuh, kencing manis dan sebagainya. Dengan kata lain qada dan qadarlah yang menjadi sebab kejadiannya.
Kejadian kencing manis adalah kesan daripada kandungan gula dalam darah. Seseorang yang normal mempunyai kandungan gula sekitar 6 mengikut indeksnya. Jika lebih tinggi dari kadar ini orang berkenaan dikatakan mengidap sakit kencing manis, sebaliknya jika di bawah paras ini dikatakan hypo atau kekurangan gula. Mengapa boleh terjadi lebihan atau kekurangan? Ini berkait dengan qada’ dan qadar Allah.
Paras gula dalam badan adalah dikawal oleh hormon insulin, iaitu sejenis hormon yang dikeluarkan oleh kilangnya. Dengan qada’ dan qadar-Nya, Allah menetapkan setiap orang mempunyai kilang hormon yang berbeza-beza kecekapan-nya. Yang normal akan mengeluarkan hormon insulin secukupnya (optimum), dan kandungan gula terkawal dengan baik, yang tidak normal mengeluarkan insulin sama ada berlebihan atau kekurangan pula, jadi kawalan gula tidak normal. Insulin yang berlebihan akan menyebabkan hypo, yang berkurangan akan menyebabkan gula berlebihan dalam badan dan terjadi kencing manis.
Qadanya ialah pemberian kilang hormon itu, qadarnya ialah sama ada menerima yang normal atau tidak normal. Hypo atau kencing manis itu adalah kesan dan akibatnya yang kita panggil takdir itu.

Qada’ dan qadar adalah satu peraturan

Ketetapan (qada dan qadar) Allah adalah merupakan satu peraturan. Muka bumi ini akan terus berada seperti adanya (stabil), kerana setiap ciptaan berjalan tunduk patuh mengikut ketetapan Allah. Sebarang perubahan yang terjadi akan membawa keburukan atau bencana. Dalam kejadian tanah runtuh itu tadi berlakunya adalah kerana terjadi perubahan yang memberi kesan kepada kestabilan di tempat berkenaan.
Hidayah atau petunjuk adalah qada’ dan qadar Allah juga. Allah swt berkuasa memberi petunjuk kepada manusia dan masyarakatnya melalui wahyu. Namun tidak semua manusia mampu memahaminya, justeru Allah swt melantik manusia-manusia tertentu dari kelompoknya sebagai rasul-Nya. Tujuannya ialah bagi menjelaskan wahyu. Rasul-rasul dilantik adalah dari kalangan kaum dan bangsa itu sendiri.
Misalnya bagi kaum yang berbahasa Arab Rasulnya dilantik dari kalangan mereka agar tidak menimbulkan masalah bahasa komunikasi. Ini disebut oleh ayat Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Ibrahim, 14: 4).
Frasa kata Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya itu bermaksud itu adalah peraturan Allah swt. Jadi, misalnya sesiapa yang tidak mengikut peraturan dan peringatan-Nya mereka akan sesat. Sesat bererti mereka hilang pedoman dalam menjalani kehidupan, dan tentunya ada kesan dan akibatnya, dan ini adalah akibat dari pilihannya sendiri tidak mengikut peringatan Allah, (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambanya (ali-Imran, 3: 182).
Dalam menentukan ketetapan nasib hamba-hamba-Nya itu, Allah meletakkan tanggungjawab kepada manusia kerana Allah telah memberinya akal dan kemampuan untuk menjalankan ikhtiar dan usaha kepada setiap insan. Allah swt mewajibkan manusia berusaha ke arah kebaikan mereka sendiri. Jika baik yang diusahakan baiklah akhirnya, dan sebaliknya. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri (al-Rad, 13: 11). Inilah peraturan Allah swt kepada manusia.
Misalnya, seperti yang akan disebutkan di bawah ini tentang bangsa Amerika yang mereka-reka dan mencipta sendiri jalan hidupnya menyebabkan mereka sekarang menghadapi masalah sosial. Inilah kesan dan akibatnya yang disebut oleh Allah dalam ayat 182 surah ali-Imran di atas tadi.
Jadi, percaya kepada qada’ dan qadar bermakna percaya bahawa ketentuan Allah itu benar, adil, dan bersesuaian dengan kehendak-Nya. Bagaimanapun memberikan kepada manusia kuasa untuk melakukan usaha dan ikhtiar. Dengan kata lain Allah menentukan segala-galanya sebagai peraturan yang ditetapkan-Nya. Manusia yang tunduk patuh kepada peraturan yang bersesuaian dengan kehendak-Nya akan sejahtera. Jadi manusia bertanggungjawab kepada kesan dan akibat dari qada’ dan kadarnya. Jika tidak akan dipersoal di akhirat kelak.
Bencana kejadian tanah runtuh boleh dielakkan jika manusia tidak melanggar ayat Allah yang menyatakan bahawa bukit dan gunung adalah pasak bumi, Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya (an-Naba, 78: 7). Pasak bumi bermaksud ianya adalah untuk kesetabilan tanah, Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya) (an-Naziat, 79: 32).
Orang yang berilmu dapat memahami maksud ayat-ayat ini, lalu tidak berani untuk merosakkannya. Malangnya ada yang berilmu tetapi kurang yakin dengan janji (peraturan) Allah.
Cara hidup manusia yang betul dan benar adalah dengan mengikut peraturan-peraturan yang terkandung dalam agama Allah swt, dan berpandukan amalan-amalan yang dilakukan oleh para rasul-Nya. Sebagai umat Nabi saw amalan-amalan baginda itu harus diikuti. Jangan mengikut jalan yang lain walaupun ianya disebut sebagai disiplin, peraturan dan sebagainya.
Selain dari ayat-ayat al-Quran kita gunakan hadis Nabi saw kerana jelas memang ada ayat yang menyeru berbuat demikian. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah saw kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangan kamu melaku-kannya maka berhentilah melakukannya (al-Hasyr, 59: 7). Dan lagi, Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik (al-Ahzab, 33: 21)
Dengan menjalani hidup berdasarkan hukum-hukum dan peraturan yang ditetapkan Allah manusia akan merasai nikmatnya, tidak mengalami bencana alam dan sebagainya, kerana peraturan dan undang-undang itu memang serasi dengan tabiat semulajadi dirinya, serasi juga dengan alam tempat kita tinggal. Misalnya, secara semulajadi manusia memerlukan persekitaran yang bersih, iklim hidup yang aman tenteram, kerana inilah Allah menurunkan ayatnya, Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melain-kan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam’ (al-Anbiya, 21: 107).
Apakah ada manusia yang suka tinggal di tempat kotor, kacau bilau dan terdedah kepada kejahatan. Jadi manusia yang menuruti tuntutan ayat ini pastinya akan bahagia dan aman.
Ayat-ayat Allah yang dalam bentuk ketetapan (qada’ dan qadar) telah diwahyukan sebelum berlakunya sesuatu peristiwa. Ianya sebagai peringatan kepada manusia. Dengan kata lain bukanlah setelah terjadinya sesuatu peristiwa barulah Allah berfirman. Ianya bertujuan supaya menjadi peraturan dan undang-undang alam. Inilah dia yang dimaksudkan qada’ dan qadar. Jika kita kata itulah tali Allah maka sesiapa yang mengikutinya akan selamat, dan sesiapa yang mengabaikannya akan mendapat bencana.
Dan, peristiwa yang terjadi yang berkait dengan satu-satu peringatan itulah yang kita biasa sebut sebagai takdir. Jadi apabila Allah menyeru agar kita redha dengan qada’ dan qadar-Nya, bermaksud yang harus diredhai ialah pemberian-pemberian-Nya dengan segala sifatnya itu (qada’ dan qadar), bukan meredhai kesan dan akibatnya. Bagi kencing manis, pemberian kilang hormone itu harus diredhai, bukan meredhai kencing manis atau hypo yang dialaminya.
Adilkah Allah memberikan sesetengah orang dengan yang baik-baik sedangkan yang lain dianugerahi dengan yang kurang baik.
Mengikut pertimbangan akal manusia memang kelihatannya tidak adil. Tetapi Allah swt Maha Sempurna perencanaan-Nya, Dia meletakkan keadilan-Nya dalam bentuk janji-Nya yang lain, seperti yang disebut oleh hadis dari Abu Hurairah ra yang menyebut, Para syuhada (orang yang mati syahid) lima macam. (1) al-Math’un, orang yang tewas kerana penyakit kolera (penyakit menular atau wabak), (2) al-Mabthun, orang-orang yang tewas kerana sakit perut atau melahirkan anak, (3) orang yang tewas kerana tenggelam, (4) orang-orang yang tewas kerana ditimpa tanah longsor atau pohon tumbang dan sebagainya, (5) orang yang tewas dalam perang fi-sabilillah (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 1868). Yang bermaksud bahawa sesiapa yang redha dengan salah satu daripada lima anugerah akan digantikan dengan balasan syurga. Di sinilah keadiilan-Nya, Bukan mudah untuk mendapat syurga. Jadi bertuahlah mereka yang mati dalam keadaan seperti yang tersebut di atas ini. Justeru orang-orang yang benar-benar beriman tidak harus mempersoalkan keadilan Allah swt mengikut pertimbangan akal sendiri.

No comments: