29 August 2016

Meraih Rahmat Dari Ibadah Sembahyang


Sebuah hadis dari Imran bin Hussain ra, katanya, Pada suatu kali Rasulullah saw mengimami kami sembahyang Zohor atau Asar; setelah selesai sembahyang beliau bersabda, 'Siapakah tadi di belakangku yang menjaharkan bacaan Sabbihisma rabbikal a'la', jawab seorang sahabat, 'Aku, maksudku hanya semata-mata untuk kebaikan'. Sabda Rasulullah saw, 'Aku tahu maksudmu baik, tetapi kamu mengganggu orang lain'.
Hadis ini menggambarkan larangan kepada orang yang sedang sembahyang berjemaah, iaitu menjahar (membaca kuat). Pada asalnya larangan ini merupakan hukum bagi orang yang mendirikan sembahyang. Bagaimanapun dalam kehidupan seharian, larangan ini harus dihidupkan. Hukum ini mengajar kita etika jangan membuat gangguan suara. Bayangkan, ketika kita berada dalam sebuah restoran yang aman damai, tiba-tiba ada sekumpulan orang yang bersembang dengan suara yang kuat. Tentunya cara sembang itu mengganggu orang lain. Inilah antar nilai etika dalam ibadah sembahyang.
Pendek kata banyak hukum sama ada yang rukun atau yang sunat dalam ibadah sembahyang adalah mengajar erti beretika ketika bersama dengan orang ramai, sama ada di tempat yang tertutup atau terbuka. Contoh di atas itu tadi adalah antaranya. Jadi untuk mendapat rahmat dari ibadah sembahyang kita, agar sembahyang kita minta syafaat dari Allah swt di akhirat nanti, aspek-aspek pengajaran daripadanya harus dihidupkan dalam kehidupan seharian kita.

Apakah benar ada orang yang sembahyangnya ditolak?

Sebuah hadis dari Tarmizi dan Ahmad menyebut,
‘Tiga orang yang sembahyangnya tidak sampai melampaui telinganya, iaitu seorang budak yang melarikan diri sampai dia pulang kembali, seorang isteri yang semalaman suaminya murka kepadanya, dan seorang imam yang mengimami suatu kaum sedangkan kaum itu tidak menyukainya’.
Sebuah hadis lain menyebut yang maksudnya,

Segala amal akan datang pada hari qiamat (untuk memberi syafaat kepada yang mengerjakannya), antaranya sembahyang datang lalu berkata, ‘Ya Tuhanku akulah sembahyang’; Allah Taala berfirman (kepadanya) ‘Tujuan engkau itu baik, (tetapi engkau sahaja belum cukup)’; dan (selepas itu) datang pula sedekah, puasa, dan amal-amal yang lain, semuanya itu Allah berfirman (kepada tiap-tiap satunya): Tujuan engkau itu baik, tetapi engkau sahaja belum cukup’; kemudian datang pula Islam lalu berkata, ‘Ya Tuhanku, Engkaulah Tuhan yang bernama Assalam, dan akulah Islam’; maka Allah Taala berfirman (kepadanya), ‘Tujuan engkau itu baik, pada hari ini dengan engkaulah aku menerima dan dengan engkaulah jua aku memberi balasan’. (Mustika Hadis Jilid I, 42)
Hadis-hadis ini menggambarkan beberapa golongan yang sembahyangnya ditolak. Tertolaknya sembahyang mereka disebut oleh Allah swt tujuan engkau baik tetapi engkau sahaja belum cukup.


Sembahyang yang diterima ialah yang menegakkan Islam sebagai way of life.
Sesiapa yang menurut jalan yang lain dari apa yang disyariatkan Allah sebagai agamanya, maka tidak sekali-kali akan diterima daripadanya…’. (al-Imran, 3: 85)
Itu sebabnya:
·         Sembahyang tetapi lari dari tanggungjawab seperti yang dilakukan oleh budah lelaki itu,
·         Sembahyang tetapi tidak mendidik si isteri itu menjadi seorang yang taatkan suaminya,
·         Sembahyang tetapi tidak mendidik dirinya menjadi seorang pemimpin yang disukai ramai.
Justeru ibadah sembahyang kita biarlah yang dapat menegakkan Islam.
Seseorang yang sedar, dan berpegang teguh kepada ayat yang maksudnya Tidak Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku akan sentiasa menyedari bahawa Islam adalah cara hidup, dan setiap percakapan dan perilaku adalah berkait dengan Islam.
Itulah juga sebabnya Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya menyebut,
‘Di antara kefahaman terbaik kita terhadap ajaran agama Allah ialah apabila kita mengetahui tentang tujuan pemberian beban kewajipan yang mesti kita lakukan.’ (Fiqh Keutamaan, 48)

Petikan ini menghendaki kita mengenali tujuan ajaran agama. Jika kita diajar supaya mendirikan sembahyang maka kenalilah tujuannya.
Antara aspek yang sangat penting dalam aktiviti harian kita menjaga etika kerana ini adalah nilai-nilai yang terlihat dalam kehidupan kita. Kenalilah apakah nilai etika yang berkait dengan ibadah sembahyang, dan jadikanlah sebagai amalan hidup kita supaya sembahyang kita tidak ditolak. Rugi besarlah jika ibadah yang kita lakukan 5 waktu sehari semalam, dengan penuh gigih dan dijaga waktunya tetapi ditolak atas sebab-sebab kita tidak cukup ilmu.
Wallahu aalam.