11 June 2016

Kesilapan besar beribadah Puasa Ramadan



Ramai orang yang menunaikan ibadah puasa bulan Ramadan tetapi seperti tidak peduli untuk mengambil tahu tentangnya, menyebabkan mereka menjalani ibadah puasa semata-mata dengan menahan diri dari makan-minum, dan menjaganya dari perkara-pekara yang membatalkan sahaja, tidak lebih daripada itu. Kalaupun ada antara mereka itu yang hendak mendapat ketakwaan kerana pernah mendengar ayat yang bermaksud Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, mereka cuma mengharap semoga mendapat ketakwaan tetapi tidak menjalankan usaha dan tindakan ke arah itu.
Sebahagian lagi, walaupun tahu dan sedar bahawa ibadah puasa adalah salah satu Rukun Islam, tetapi sikapnya terhadap ibadah ini seperti tidak peduli apakah maksud rukun, selain daripada kefahaman bahawa kerana ianya rukun maka wajib ditunaikan, tidak lebih daripada itu; inilah juga sikap mereka terhadap ibadah-ibadah yang lain iaitu sembahyang, zakat dan haji itu; perkataan rukun dilihat hanya sebagai kod istimewa untuk Rukun Islam sahaja.
Saya bentangkan hal ini bagi tujuan cuba membawa pembaca kepada satu tanggapan yang lebih benar lagi tentang ibadah puasa: mengenali rohnya, dan apakah yang harus kita lakukan seterusnya setelah menjalani puasa Ramadan dua puluh sembilan atau tiga puluh hari itu, kerana berpuasa dalam bulan Ramadan itu sebenarnya adalah suatu bentuk latihan atau training – jika ianya suatu latihan tentu ada hasil atau keputusannya yang hendak dilihat setelah habis menjalani perkemahannya.

Hakikat ibadah puasa

Puasa dari sudut syarak sahaja bermaksud, ‘(dan) erti shaum pada syara’ ertinya menahani diri daripada yang membatalkan puasa.’ (Sabilul-muhtadin, 128)
Shaum bererti puasa, jadi di sini puasa bererti menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan. Secara umum, perkara-perkara yang membatalkan puasa ialah:
·        Makan dan minum dengan sengaja,
·        Muntah dengan sengaja,
·        Bersetubuh,
·        Keluar darah haid atau nifas,
·        Gila, pada siang hari,
·        Keluar mani kerana bersentuh dengan perempuan.
(Manusia dan Islam, 133)
Ramai orang yang berpuasa berpegang kepada takrif ini sahaja, maka mereka menjalani ibadah puasa hanya menahan diri daripada perkara-perkara yang tersebut di atas ini; inilah yang diajar oleh fiqh kita sejak lama dahulu, tidak lebih daripada itu, dan inilah amalan puasa kita sejak dahulu hingga sekarang; selepas habis bulan Ramadan tidak ada lagi yang harus dilakukan yang berkaitan dengan puasanya.
Mereka tidak pernah terlintas untuk merenung dengan mendalam perkara-perkara yang berkaitannya, misalnya jika puasa itu adalah salah satu daripada Rukun Islam, tidak ramai yang mendapat petunjuk untuk merenung apakah erti rukun itu dan sebagainya, pendek kata tidak ada apa-apa yang hendak difikir-fikirkan lagi! Adakah ini konsep ibadah puasa yang Allah kehendaki? Tidak hairanlah jika ada hadis yang menyebut, ‘tujuan engkau baik, tetapi engkau sahaja tidak cukup. Hadis ini agak panjang (kalau berhajat, sila hubungi saya, tulis di ruang Komen) Hadis ini menceritakan tentang di akhirat nanti segala amal akan datang menemui Allah bagi memohon syafaat syurga kepada pengamalnya. Mula-mula sembahyangnya, wahai Allah akulah sembahyangnya, Allah menjawab,Sembahyang sahaja tidak cukup, kemudian apabila amal-amal yang lain termasuk puasa menemui Allah, dijawab juga ‘puasa sahaja tidak cukup. Hadis ini tercatat dalam sebuah kita hadis yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri, Malaysia.
Seseorang yang tahu mengenai hadis ini sudah memadai untuk menilai semula konsep ibadah puasanya kerana jelas hadis itu menggambarkan ada sesuatu yang tidak kita lakukan berkait dengan puasa; atau ada sesuatu yang terselindung di sebalik ibadah puasa yang kita belum sempurnakan; dua persoalan ini rasanya sudah memadai untuk mendorong kita melakukan bedah siasat terhadap ibadah yang kita lakukan, bagi mencari-cari, umpamanya, apakah lagi yang belum disempurnakan, dan sebagainya (belum cukup bererti ada yang masih tertinggal, belum lagi disempurnakan). Mari kita lihat kembali beberapa perkara yang sudah kita maklum tetapi mungkin terlepas pandang, atau kerana kita lalai, atau mungkin juga kerana kita tidak pernah mendapat dorongan ke arah mencari jawapan kepada dua persoalan itu dan sebagainya.
Pertama, apakah maksud perkataan rukun itu. Kamus Dewan memberi makna rukun (dengan menyebut satu contoh: rukun agama) yang bermaksud dasar atau tiang agama Islam, dan ertinya yang lain-lain lagi yang disebut ialah dasar, tiang, asas, sendi. Jika diamat-amati dengan mendalam setiap perkataan ini, menunjukkan perkataan rukun itu mempunyai maksud yang luas, memerlukan penjelasan lanjut, melihat apakah maksudnya yang tersurat dan yang tersirat, kesemuanya ini akan menjadi asas bagi menentukan konsep, misalnya jika digunakan kepada ibadah puasa bermaksud puasa adalah tiang agama; perkataan tiang itupun harus diamat-amati juga maksudnya, bayangkan sesuatu bangunan yang didirikan tanpa tiang; atau puasa adalah dasar, asas dan sendi agama (Islam); jadi, jika ini kedudukannya maka hakikatnya ibadah puasa kita bukan sekadar ibadah yang ditunaikan dengan menahan diri daripada makan-minum dan mengelakkan hubungan seks sahaja tetapi lebih daripada itu ialah ibadah yang menjadi tiang agama iaitu agama Islam, atau ibadah yang menjadi asas dan sendi agama Islam.
Banyak bukti yang menunjukkan konsep puasa seperti ini, misalnya ayat Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, menunjukkan bahawa ibadah puasa bertujuan untuk membina ketakwaan; bukankah takwa itu adalah satu daripada ciri-ciri yang wajib ada dalam diri seorang Muslim, yang sangat ditekankan dalam pendidikan agama (Islam). Antara lain lagi ialah yang sering disebut bahawa puasa adalah ibadah larangan, al-Quran menyebu, ‘Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seseorang manusiapun pada hari ini (Maryam, 19: 26)
Ayat ini menggambarkan larangan berbicara bagi orang yang berpuasa. Walaupun bercakap tidak membatalkan puasa, tetapi bila dikaitkan dengan ibadah puasa, bermaksud orang yang berpuasa dilarang bercakap; ini serasi dengan sabda Rasulullah saw, Jika kamu sementara puasa, maka janganlah berkata keji, dan janganlah marah, dan jika ada orang yang memaki dan mengajak berkelahi, hendaklah memberitahu: saya puasa.’ (Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mu’min, 331)
Kedua, antara perkara penting yang harus kita ketahui ialah bahawa ibadah puasa adalah sebagai latihan seperti yang disebut oleh Prof. Dato’ Dr. Haron Din dalam bukunya,
‘Puasa sebagai latihan rohaniah yang mana tiap-tiap Muslim menahan diri daripada nafsu perut, nafsu kejantinaan dan untuk mencegah daripada moral yang rendah’. (Manusia dan Islam, 130)
Pandangan yang sama juga disebut oleh Dr. H. Hamzah Ya’qub yang mencatatkan dalam bukunya, Puasa semacam training-rohani yang meningkatkan daya tahan rohani dari gangguan syaitan dan pengaruh hawa nafsu’. (Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mu’min, 332)
Jadi, hakikatnya ibadah puasa adalah ibarat sesi latihan, yang objektifnya ialah ke arah pembinaan ketakwaan, kerohanian, moral dan mengekang pengaruh hawa nafsu; maka mengikut konsep ini seharusnya selepas tamat bulan Ramadan kita melakukan bedah siasat ke atas latihan yang kita lalui sepanjang bulan tersebut.
Demikianlah secara ringkas, antara perkara-perkara yang harus kita ambil tahu tentang ibadah puasa kita agar ibadah puasa kita menepati kehendak Allah dan Rasul-Nya, supaya ibadah puasa kita hidup, tidak beku sebagai ibadah ritual, ibadah ketuhanan semata-mata tetapi ibadah yang hidup, dapat dilihat dalam kehidupan seharian. Bagaimanakah ibadah puasa dapat mencapai tujuan ini: membina ketakwaan, menjadi tiang agama, mengekang nafsu, dan sebagainya; dengan kata lain apakah yang dapat kita lakukan untuk mencapai tujuan ini, bukan harapan tinggal harapan, tiada usaha yang kita jalankan.

Matlamat ibadah puasa

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menulis dalam bukunya,
‘Semua orang sependapat bahawa hukum-hukum syariat secara menyeluruh memiliki alasan, dan juga terdapat tujuan tertentu yang ada di sebalik bentuk lahiriah hukum syariat yang harus dilaksanakan itu.’  (Terjemahan Fiqh Keutamaan, 47)
Semua orang yang dimaksudkannya ialah para ulama; mereka sependapat bahawa syariat yang diwajibkan ke atas kita itu ada tujuannya. Beliau menambah,
‘Allah yang Maha Bijaksana tidak akan membuat syariat agama tanpa tujuan, sebagaimana Dia tidak akan menciptakan sesuatu yang batil.’ (Terjemahan Fiqh Keutamaan, 48)
Kerana itu beliau melontarkan pandangan,  ‘Antara kefahaman terbaik kita terhadap ajaran agama Allah ialah apabila kita mengetahui tentang tujuan pemberian beban kewajipan yang mesti kita lakukan.’ (Terjemahan Fiqh Keutamaan, 48)
Kita maklum bahawa ibadah-ibadah yang diwajibkan kita menunaikannya ialah sembahyang, zakat, puasa dan haji, jadi frasa kata beban kewajipan yang mesti kita lakukan di sini, adalah merujuk kepada ibadah-ibadah ini, jadi harus kita fahami benar-benar bahawa pada lahirnya kita berpuasa, tetapi disebalik ibadah puasa itu ada tujuannya yang harus dicapai; begitu juga halnya dengan ibadah-ibadah sembahyang, zakat dan haji; jadi dapatlah kita lihat bahawa ibadah puasa kita ada tujuan atau matlamatnya, atau biasa juga disebut sebagai maqasid; inilah perkara yang sangat penting diketahui oleh orang-orang yang berpuasa dalam bulan Ramadan. Misalnya ayat,Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa’ (Al-Baqarah, 2: 183), adalah salah satu matlamatnya iaitu ke arah ketakwaan, justeru apabila kita mendengar ayat ini dibacakan harus respon, dan respon yang terbaik ialah dalam bentuk tindakan-tindakan yang menjurus kepada ketakwaan: apakah yang harus dilakukan untuk mendapat takwa, dari sudut mana tindakan-tindakan yang hendak diambil sempena ibadah puasa kita, dan sebagainya. Inilah sikap yang harus ada pada kita terhadap ibadah puasa.
Antara lain lagi matlamat ibadah puasa ialah seperti yang disebut oleh Prof. Dato’ Dr. Haron Din dalam bukunya bahawa puasa,
boleh menguatkan peribadi, meluhurkan kesusilaan dan membersihkan jiwa insan. (Manusia dan Islam, 130)
Puasa semacam training-rohani yang meningkatkan daya tahan rohani dari gangguan syaitan dan pengaruh hawa nafsu’. (Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mu’min, 332)
Inilah antara tujuan-tujuan ibadah puasa yang disebut maqasid itu:
·                    Membina ketakwaan
·                    Mendidik nafsu
·                    Membina akhlak dan keperibadian
Inilah tanggapan kita terhadap ibadah puasa yang sewajarnya, bahawa pada lahirnya kita menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi di sebaliknya ada tujuannya yang hendak dicapai. Renungkanlah saudara/saudari seagama (Islam).

No comments: