02 May 2016

Disiplin menuntut ilmu


Semua tindak tanduk kita tidak boleh didasarkan kepada sikap membabi buta, kerana itu bukanlah cara manusia yang waras dan berakal budi. Justeru, mengikut Islam, sebagai seorang individu kewajipan kita yang paling penting adalah untuk mencari ilmu pengetahuan. Ini kerana setiap tindak tanduk yang kita lakukan kelak akan bergantung kepada ilmu pengetahuan.
Ilmu pengetahuan yang betul akan memberikan konsep yang tepat tentang Islam dan seterusnya menghasilkan tindak tanduk yang betul dan diterima ramai. Sebaliknya pula yang juga benar, bahawa pengetahuan yang palsu, akan membawa kepada kelakuan yang salah dan membawa bencana. Adalah mustahil untuk kita menjadi seseorang yang hidup mengikut pendekatan Islam, tetapi pada masa yang sama mengikut keadaan kejahilan dan kekejaman.
Gel amani penawar sakit lutut dan sendir, mengembalikan anda solat berdiri tanpa sakit lagi.
Sikap terhadap pengetahuan adalah bahagian yang penting dalam membentuk tanggapan kita. Sebagai manusia sejauh mana kita memahaminya dan melunaskan peranan kita akan bergantung kepada:
1. Jenis pengetahuan,
2. Sumbernya dan cara memperoleh pengetahuan;
3. Cara kita menggunakan ilmu pengetahuan.

Apakah jenis ilmu yang harus kita cari? Ini adalah antara persoalan yang harus kita fikirkan bagi menentukan ciri utama sesuatu ilmu yang hendak kita cari.
Antara kategori ilmu yang harus kita pertimbangan ialah benar atau palsu: Ilmu yang benar adalah yang datang daripada Pencipta, sementara yang datang dari sumber-sumber lain adalah palsu. Jadi adalah satu sikap yang bodoh untuk menghabiskan masa untuk mencari ilmu yang palsu, kecuali jika kita mahu menggunakannya untuk membimbing seseorang bagi membuang ilmu palsu yang dipegangnya.
Pertimbangkan juga dari faktor ilmu yang berfaedah atau berbahaya: Ilmu yang berfaedah adalah yang memberi kesejahteraan manusia, masyarakat dan alam sekitar, sementara ilmu yang berbahaya adalah yang berpotensi merosakkan kesejahteraan manusia, masyarakat dan alam sekitar. Cuba semak, adakah bahan bacaan anda serasi dengan faktor ini?
Ilmu yang berguna, bermanfaat dan malah mustahak untuk kesejahteraan manusia, ialah:
-   Ilmu tentang Pencipta, dan ilmu yang akan membawa manusia lebih dekat kepada Pencipta, iaitu ilmu yang berkaitan dengan ibadah; ini adalah teras kepada kehidupan yang sejahtera. Adakah anda sedang membacanya?
-   Ilmu tentang peranan nabi-nabi, khususnya nabi terakhir, Muhammad saw.
-   Ilmu tentang nature yang di bawah kuasa manusia. Ini termasuk pengetahuan sains fizikal, penggunaan takkulan, pemerhatian dan eksperimen untuk mengetahui bagaimana dunia berfungsi; ilmu astronomi untuk pelayaran dan navigasi, pertanian, penternakan, sains perubatan, ilmu lautan untuk mendapat manfaat daripada laut dan sebagainya. Adakah anda sudah mula membuat koleksi buku-buku yang berkenaan.
-   Ilmu tentang sejarah dan geografi, sejajar dengan ayat al-Quran yang memberitahu kita agar mengembara ke seluruh pelusuk bumi dan melihat apa yang telah terjadi kepada manusia zaman sebelum kita dan tamadunnya.
-  Ilmu tentang apa yang betul dan yang salah. Yang ini adalah berkait dengan nilai-nilai akhlak atau etika dan moral. Itu sebabnya kita diwajibkan menuntut ilmu dan mempraktikkan segala ilmu yang diperolehi.
    Apakah sikap kita terhadap yang satu ini. Adakah kita sudah mula membuat koleksi buku-buku tentang akhlak, etika dan moral yang serasi dengan worldview Islam.

Al-Quran membenarkan kita menggunakan kuasa takkulan untuk memperoleh ilmu tentang dunia ini, namun mengingatkan bahawa ilmu yang berkait dengan qada-qadar dan hari akhirat hanya boleh diperolehi dari wahyu Ilahi yang sebenar iaitu al-Quran. Ini menunjukkan bahawa dua sumber utama ilmu ialah takkulan akal dan wahyu.
Ilmu yang total adalah yang mecakupi semua bidang dan aspek, dan dalam bentuk aplikasinya yang bersepadu. Ilmu yang disebut di sini tentunya adalah yang benar iaitu ilmu pengetahuan yang disekitarkan kepada ibadah dan dikawal oleh nilai-nilai etika. Dalam Islam, ilmu pengetahuan seharusnya adalah yang berkaitan dengan ibadah, iaitu yang membawa kepada kebaikan, dan jangan sedikitpun dicampuri dengan yang membawa keburukan.
Apa jua ilmu boleh dipelajari melainkan yang dilarang, sama ada pada peringkat diharamkan mahupun hanya makruh sahaja. Misalnya mencari ilmu itu sendiri adalah dikira sebagai satu ibadah – membaca al-Quran dan menghayatinya adalah ibadah, mengembara untuk menimba ilmu juga adalah ibadah, jika memenuhi lima syarat seperti yang akan dihuraikan dalam bab terakhir buku ini..
Ilmu pengetahuan yang kita cari seharusnya yang melahirkan etika dan moral. Dalam Islam, inti kepada etika dan moral ialah menggalakkan kebaikan dan memerangi kejelekan, menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Dalam al-Quran disebut sebagai amar maaruf nahi mungkar.

Ada beberapa perkara yang harus diperhatikan tentang mencari ilmu:
·        Ilmu mesti dituntut dan diamalkan, dengan kerendahan hati dan rendah diri serta membawa kepada kecantikan maruah, kebebasan dan keadilan.
·        Tujuan utama ilmu pengetahuan adalah untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, bukan untuk kepuasan fikiran atau perasaan semata-mata, ia juga bukan ilmu untuk kepentingan diri sendiri atau untuk kepentingan sains semata-mata, tetapi yang mempunyai nilai-nilai baik dan bermatlamat.
·        Matlamat ilmu adalah untuk membawa kebaikan dunia ini, bukan untuk memusnahkannya, melalui pembaziran dan keangkuhan dalam usaha mencapai darjat dan harta kekayaan;
·        satu lagi, ilmu adalah untuk menyuburkan kebebasan dan maruah, kebenaran dan keadilan. Ilmu bukan untuk kuasa dan dominasi kepentingan diri sendiri. Misalnya, seorang yang mempunyai nama Muslim, mempunyai pengetahuan dan kuasa, tetapi bertindak angkuh sewenang-wenangnya, beliau akan mewujudkan iklim ketidakadilan dan kezaliman, walaupun terhadap dirinya sendiri, sebaliknya jika orang yang bukan Islam sekalipun tetapi mempunyai pengetahuan dan kuasa, menggunakannya mengikut kecenderungan etika semulajadinya, dia boleh melahirkan suasana keadilan dan kebebasan.

Wadah ilmu terlalu dalam, tidak ada ukurannya. Terlalu luas, tidak terhad kepada ilmu tentang alam semulajadi dan pengamatan. Justeru adalah mustahil bagi sesiapa yang cuba untuk menguasai ilmu lebih daripada yang sewajarnya walaupun dengan memperuntukkan sebahagian usia hayatnya untuk itu. Justeru untuk mencari ilmu adalah lebih baik sekiranya kita mulakan dengan yang paling penting untuk kehidupan kita. Dua bidang ilmu yang terpenting ialah pengetahuan asas dan pengetahuan professional.

Pengetahuan asas: Pengetahuan asas iaitu ilmu pengetahuan yang mesti dipunyai oleh setiap orang bagi memenuhi fungsi semulajadinya sebagai seorang manusia Muslim. Seperti yang telah disebut dalam bab yang lalu bahawa al-Quran adalah rujukan yang benar dan ideal untuk menghadapi realiti, oleh itu kita mesti memperoleh pengetahuan dari al-Quran dan menjadikannya sebagai petunjuk.
Kita juga perlu mempunyai pengetahuan tentang Sunnah Nabi Muhammad saw, ini adalah kerana Sunnad baginda adalah al-Quran, dengan kata lain Sunnah baginda adalah merupakan terjemahan al-Quran. Ini disebut sebagai kaedah yang praktikal iaitu jalan untuk melaksanakan Islam. (Sunnah Nabi mencakupi ucapan-ucapannya, perbuatannya, dan apa yang dipersetujuinya).
Dalam usaha untuk memahami al-Quran, kita perlu mempunyai pengetahuan bahasa Arab. Pengetahuan Bahasa Arab yang secukupnya juga perlu untuk melaksanakan tugas-tugas yang wajib seperti sembahyang. Dari al-Quran dan Sunnah, kita perlu mempunyai pengetahuan Syariah (Sistem Moral dan Undang-Undang Islam) yang mengawal tindak-tanduk manusia.
Kita juga perlu mengetahui sumber-sumber Syariah, tujuannya dan bagaimana ia mengkategorikan urusan hidup, iaitu, apa yang sah di sisi undang-undang (halal) dan yang haram, dan sekali gus mengenali prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang mengawalnya.

Pengetahuan profesional: Pengetahuan profesional ialah ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh seseorang untuk sara hidupnya. Ianya bukan setakat ilmu kemahiran sahaja tetapi mencakupi pengetahuan tentang disiplinnya. Mengikut disiplinnya, syarat yang utama dalam pemilihan sesuatu profesion ialah bakat seseorang individu, dan kepentingan (keperluan) masyarakat. Namun sama ada kita memilih profesion berdasarkan bakat atau mengikut keperluan masyarakat cara menjalankannya haruslah yang serasi dengan aspek-aspek pengetahuan asas di atas tadi. Penjelasan lanjut akan kita ketemui kemudian.

Al-Quran:

Satu caranya untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta ialah dengan membaca al-Quran. Al-Quran memberitahu kita tentang Sang Pencipta, rahmat-Nya, Sifat-sifatNya, bagaimana Dia mentadbir alam semesta dan sejarahnya, bagaimana hubungan-Nya dengan kita, dan bagaimana kita harus sentiasa berhubung dengan-Nya, berhubung dengan diri kita sendiri dan sesama insan serta seluruh makhluk yang lain.
Ada tiga tanggungjawab kita terhadap al-Quran iaitu membacanya, memahaminya dan mengikutinya. Yang paling penting ialah konsep membaca itu, iaitu al-Quran menghendaki kita membaca, memahami dan mengikuti al-Quran sebagai satu proses yang sepadu. Dengan kata lain ketiga-tiganya itu tadi tidak dibuat secara berperingkat, umpamanya mula-mula membaca ayat-ayatnya sahaja, di lain masa membaca dan melihat terjemahannya sahaja, dan seterusnya mengamalkannya. Konsep membaca yang betul ialah membaca, memahami dan mengikutinya dijalankan sekali gus. Mengikuti di sini adalah bermaksud mengamalkannya. Jika terdapat perintah harus dilakukan, jika terdapat larangan harus ditinggalkan serta merta. Jika terdapat ayat-ayat yang umum maksudnya hendaklah diterokai untuk mencari isinya, dan sebagainya. Inilah sikap seorang Muslim yang aktif. Adakah kita sudah menjadi seorang yang membaca al-Quran mengikut konsep ini.

 al-Quran: Kita perlu belajar membaca al-Quran dalam bahasa yang asal (Arab), dengan betul, lancar dan indah. Yang sangat penting ialah membaca al-Quran harus disertakan dengan kesedaran bahawa yang kita sedang baca itu adalah mesej Allah.
Kita perlu membaca al-Quran setiap hari, walaupun merupakan hanya sebahagian kecil sahaja, yang penting ialah membaca, memahami dan mengikutinya dijalankan secara bersepadu. Cara ini adalah lebih baik daripada membaca bahagian yang panjang tetapi hanya sekali-sekala. Namun cubalah membaca keseluruhan Al-Quran sekurang-kurangnya sekali setiap tahun, selain membacanya sekali pada bulan Ramadan, bulan di mana ia mula-mula diturunkan kepada Nabi Muhammad.
Al-Quran tidak perlu dibaca dengan tergesa-gesa: kita perlu menghafal bab pembukaannya iaitu Fatihah, kerana ia adalah bahagian penting dalam sembahyang (Tidak sah sembahyang jika tidak membaca Fatihah), dan beberapa bahagian lain juga.
Menghafal jangan dilakukan secara mekanikal tetapi biarlah satu perbuatan yang ritual iaitu menghafal bertujuan agar ayat-ayat yang dihafalnya menjadi sebagai mainan lidah kita, dan pengertiannya lekat di hati dan minda kita. Dengan kata lain misalnya kita menjadikan ayat-ayat yang kita hafal sebagai asasnya ketika berhujah. Sabda Nabi saw, Barangsiapa yang tiada Al-Quran di dalam dirinya adalah ibarat rumah yang sunyi atau yang akan runtuh. Satu lagi, Orang yang membaca Quran dengan betul dan suara yang paling indah adalah salah satu yang apabila kita mendengar dia membaca, kita berfikir tentang takutkan Tuhan. Yang ini memerlukan kita memahami maksud ayat-ayat yang kita baca. Bagaimana halnya untuk takutkan Tuhan jika tidak mengetahui maknanya.

Memahami Al-Quran: Untuk memahami Al-Quran dengan betul, kita perlu menguasai Bahasa Arab. Ini tentunya akan mengambil masa yang panjang, tetapi harus dimulakan. Ini boleh dilakukan melalui kajian sendiri, menyertai kumpulan pengajian atau mengikuti kursus pengajian di mana-mana institusi. Adalah lebih baik untuk mempunyai seorang guru yang boleh dipercayai dan berpengalaman dalam hal ini, iaitu yang mampu membimbing kita memahami bahasanya dan mempunyai pengetahuan khusus yang diperlukan untuk memahami Al-Quran secara mendalam. Kemudian meletakkan mesej al-Quran itu dalam hati dan menghidupkannya dalam kehidupan kita. Inilah disiplinnya yang disebut sebagai bersepadu itu.
Mengamalkan al-Quran: Setelah kita membaca dan memahaminya, kita perlu respon secara emosi dan mengamalkan pengajarannya. Al-Quran adalah segala-galanya, yang memandu kita untuk mengekalkan keadaan nature diri kita, membimbing kita agar berhati-hati dalam semua tindakan bagi menyelamatkan diri kita daripada sebarang bahaya yang datang, dari tindakan-tindakan yang bertentangan dengan kehendak-Nya. Orang yang dapat melakukannya dipanggil dalam bahasa Arab sebagai muttaqiin iaitu orang-orang yang mempunyai kesedaran mendalam tentang Tuhan, yang disebut sebagai bertaqwa. Jadi orang yang bertaqwa adalah mereka yang sentiasa menyemak ayat-ayat al-Quran bagi menentukan sama hendak melakukan atau menjauhi sesuatu perakra yang hendak dilakukan. Ini adalah bagi mendapatkan status kerana Allah. Hal ini akan dijelaskan lebih lanjut dalam bab terakhir buku ini. Itu sebabnya al-Quran menyebut taqwa sebagai kualiti yang paling penting bagi seseorang. Mereka adalah orang-orang yang memiliki cara hidup yang natural, mengikut cara al-Quran.

Sunnah

Perkataan Sunnah bermaksud kaedah, contoh atau jalan. Ia merujuk kepada kata-kata, perlakuan dan persetujuan Nabi saw.
Kita wajib mengkaji Sunnah. Namun bukan setakat ingin mengetahui sejarah hidupnya dan kehidupannya dengan para sahabat sahaja. Mengkaji Sunnah bertujuan untuk mengambil iktibar dan mengikuti contoh-contoh baik yang ditunjukkan oleh baginda dalam semua aspek dan lapangan perjalanan hidup. Mengikuti Sunnah Nabi saw akan menjadikan kita seorang yang tidak akan gagal atau lalai mengagungkan mesej Allah iaitu amanah dan sentiasa menyedari kebergantungan kita kepada Allah. Mengikuti Sunnah baginda adalah merupakan caranya untuk mengakui kebenaran dan keikhlasan baginda, ketaatan dan perjuangan baginda, kekuatan dan kebijaksanaan baginda, belas kasihan baginda dan kepedulian baginda terhadap manusia.
Kemuliaan peribadi dan contoh teladan yang ditunjukkan oleh baginda itulah yang menimbulkan rasa kasih sayang para sahabat melebihi kasih sayang terhadap diri mereka sendiri. Kerana itu, mengasihi dan mencontohi Nabi seharusnya menjadi tujuan utama kita mengkaji Sunnahnya. Sebagai seorang yang mukallaf sepatutnya sudah mula membuat koleksi buku tentang sejarah hidup dan kehidupan baginda Nabi saw.
Lantaran Muhammad saw adalah Rasul yang terakhir, maka cara hidup dan career baginda adalah merentasi semua zaman selepasnya. Sunnah Nabi Muhammad saw adalah menekankan kepedulian kepada keperluan dan tabiat yang natural untuk manusia. Al-Quran menjelaskan:
‘(Iaitu) orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang maaruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung.(al-Araf, 7: 157)
Tahukah anda bahawa cara kita mendirikan sembahyang yang ada sekarang ini adalah yang ditunjukkan oleh Nabi saw? Dalam al-Quran Allah swt hanya memerintahkan sembahyang dan mengerjakan haji tetapi tidak diajarkan bagaimana cara menunaikannya, jadi baginda Nabi saw mengajar caranya, Sembahyanglah seperti mana engkau melihatku sembahyang, dan untuk ibadah haji baginda memerintahkan, Ambillah dariku bagaimana cara melaksanakan haji; jangan melakukan tokok-tambah atau pengurangan. Ini menunjukkan bahawa dalam beberapa hal kita tidak lari dari mengetahui Sunnah baginda, dan tidak boleh mengelak dari mengikuti Sunnahnya serta tidak boleh menokok tambah atau mengurangkannya.
Selain daripada pengajaran tentang cara sembahyang dan haji itu ada beberapa contoh lagi. Misalnya al-Quran memberitahu agar setiap manusia mengamalkan konsep kesepakatan bagi menguruskan hal ehwal hidup. Bagaimanakah caranya? Untuk itu Sunnah telah menunjukkan caranya. Satu contoh lagi ialah al-Quran memerintahkan umat Islam berbuat kebaikan, kerana Allah mengasihi orang-orang yang sedemikian. Walaupun al-Quran menunjukkan banyak cara berbuat baik, Sunnah Nabi menyediakan prosedur yang terperinci caranya berbuat baik dalam bentuk amal bakti dan sedekah.
Namun tidak semestinya kita mengikut apa sahaja yang baginda lakukan, kerana dalam hal-hal tertentu ada kalanya Nabi Muhammad melakukan mengikut keadaan tempat dan masa. Justeru bagi mengikuti Sunnahnya kita harus juga tahu beberapa perkara seperti mengapa baginda melakukannya dan bagaimana baginda melakukannya. Misalnya dalam hal Nabi saw memakai serban atau menunggang unta, tidak bermakna bahawa semua umat Islam mesti memakai serban atau menunggang unta juga. Tetapi apabila baginda menegaskan bahawa pakaian seseorang Islam mesti bersih dan meliputi bahagian-bahagian tertentu badan, atau bahawa baginda juga menjalani hidup dengan makan, minum, berehat dan bersikap baik terhadap haiwan, maka ini adalah sunnah yang mesti diikuti.
Sunnah Nabi saw valid untuk semua zaman termasuk yang akan datang, yang mencakupi perkara-perkara yang belum terjadi semasa zaman Nabi. Misalnya ketika Nabi melantik sahabatnya, Muadz bin Jabal, menjadi hakim di Yaman, Nabi menguji Muaz dengan bertanya, Apakah asas kita jika hendak menghukum? Muaz menjawab, Merujuk buku Tuhan; bila ditanya lagi Jika kita mendapati tidak terdapat di dalamnya? Muadz menjawab, Merujuk Sunnah Nabi Allah; dan bila ditanya lagi, Dan jika kita mendapati tidak terdapat di dalamnya? Muadz menjelaskan, Saya akan menggunakan kaedah saya untuk membuat pertimbangan saya sendiri. Jawapan Muaz yang terakhir ini telah menggembirakan Nabi saw, lalu baginda bersabda, Segala puji bagi Allah yang telah membimbing utusan Nabi Allah.
Moral cerita ini ialah kita dapati bahawa kita boleh membuat pertimbangan sendiri atas isu-isu yang tidak terdapat teks yang relevan di dalam al-Quran dan Sunnah, syaratnya, selagi tidak menyimpang dari al-Quran dan Sunnah. Bagaimana caranya hendak mengetahui sama ada ianya menyimpang atau tidak! Setelah syarat-syarat ini dipenuhi, kita diminta menggunakan pertimbangan dan inisiatif kita menggunakan kaedah yang dipanggil qias, iaitu yang ditamsilkan kepada sesuatu hukum. Dengan kata lain keputusan yang kita ambil itu harus dipadankan dengan mana-mana ayat al-Quran atau Sunnah yang berkaitan.

No comments: