27 April 2016

Asas pembinaan masyarakat Islam ialah keluarga


Dalam Islam asas kepada pembinaan sesebuah masyarakat yang stabil ialah keluarga, bukan individu. Yang bererti sesebuah keluarga yang kukuh dan harmoni akan membina sebuah masyarakat yang sedemikian juga. Ini tentunya berbebeza dengan sesebuah masyarakat yang terbina daripada idea fikiran manusia di mana mereka meletakkan individu sebagai asas pembinaannya.
Dalam sejarah terbukti sesebuah masyarakat yang berkonsep-kan libral atau terbuka, iaitu berasaskan kepada kebebasan individu banyak menimbulkan masalah yang menyebabkannya tidak stabil dan tidak sihat.
Masyarakat yang dipanggil free societies (saya ambil kata-kata Abdul Wahid Hamid dalam bukunya Islam the Natural Way) misalnya meletakkan individu sebagai unit asasnya, yang konsepnya ialah kebebasan mutlak individu, iaitu di mana seseorang individu bebas untuk melakukan apa yang dia mahu, bila-bila masa yang dia mahu dan bagaimana cara yang dia mahu.
Oleh kerana seseorang individu bebas menjalani kehidupan, maka terjadilah gejala-gejala di mana seseorang boleh tinggal dengan siapa sahaja yang dia mahu, seorang wanita boleh tinggal dengan seorang lelaki yang tidak ada hubungan kekeluargaan, seorang bapa tidak sedar siapa dirinya, manakala anak atau anak-anaknya pula pun kurang sedar siapakah bapanya. Inilah antara kesan-kesan yang dapat dilihat dalam sebuah masyarakat yang berkonsep-kan libral, yang meletakkan individu sebagai asas pembinaannya.
Ada pula negara yang menggunakan sistem di mana commune atau kelompok mengambil peranan dalam sesebuah masyarakat (tidak meletakkan individu sebagai unit asas pembinaannya). Mengikut konsep commune, pemeliharaan kanak-kanak sudah menjadi industri sosial, yang bermaksud penjagaan, pendidikan dan penyediaan keperluan kanak-kanak adalah urusan awam, bukan keluarganya. Ibu bapa hanya mengambil sebahagian kecil daripada peranannya.
Tidak dinafikan sistem seperti ini jika dilihat sekali lalu banyak kebaikannya kerana setiap orang kanak-kanak kelihatannya terbela, cukup selesa dengan kebendaan dan kecekapan pengurusan-nya, tidak memungkinkan sesetengah kanak-kanak terbiar atau tinggal dalam kemiskinan. Namun aspek-aspek kasih sayang kekeluargaan dan kehangatan hubungan anak dengan keluarga renggang, sekali gus nilai-nilai kemanusiaan menurun, malah boleh memusnahkan hubungan dan keperluan semulajadi manusia.
Bagi kedua-dua contoh di atas ini tidaklah pula ditujukan kepada mana-mana negara secara khusus, namun tidak mustahil jika ada orang yang mengarahkan pandangan ke negara barat seperti Amerika, yang satu lagi itu nadanya seperti merujuk kepada negara sosialis. Contoh yang diturunkan di sini bertujuan hendak menyatakan bahawa kedua-dua sistem itu sebagai gagal dalam cita-cita mengujudkan sebuah negara yang stabil, kerana ideanya adalah berasaskan buah fikiran manusia.
Memanglah jika kebebasan individu dijadikan asas, faktor hubungan atau ikatan antara individu akan longgar, jadi sesebuah masyarakat yang terbina daripada keadaan ini juga akan menjadi masyarakat yang tidak stabil. Kebebasan individu akan mencetus perbezaan pendapat antara seorang dengan yang lain. Ini akan membawa kepada terbentuknya kebudayaan dan cara hidup yang tidak jelas polanya.
Dalam contoh di atas itu tadi, apakah mereka sengaja tidak meletakkan kestabilan masyarakat sebagai wawasan untuk negara-nya? Jika demikian ke manakah halatujunya? Rasanya mustahil, kerana mereka pasti sedar bahawa kestabilan sesebuah masyarakat dan negara adalah antara faktor asas kestabilan ekonomi. Justeru faktor ini adalah amat penting bagi sesebuah negara. Lalu, apa yang boleh dikatakan di sini ialah bahawa mereka seperti tidak mahu menggunakan peraturan yang telah disediakan, sebaliknya lebih rela bereksperimen dengan polisi dan peraturan mereka sendiri.

Masyarakat Islam
Islam memandang kedua-dua contoh di atas tadi sebagai sesuatu yang palsu dan tiruan, yang mengakibatkan tekanan dan ketegangan kepada setiap orang, lebih-lebih lagi bagi golongan wanita dan kanak-kanak, dan mencetuskan kacau-bilau seperti jenayah dan gejala juvana.
Islam mengajar manusia bahawa unit asas sesebuah masyarakat ialah keluarga, dan setiap individu di dalamnya bukan individu seperti yang disebut di atas tadi, yang berpegang kepada kebebasan, boleh melakukan apa yang dia mahu, dan bila-bila masa yang dia mahu. Individu Islam sikapnya berpegang kepada dirinya sebagai mukallaf, berilmu pengetahuan, hukum syariah, tahu halal haram dan yang sentiasa membangunkan akhlak dan kerohaniannya.
Banyak undang-undang Islam yang memacu pemeliharaan institusi keluarga dan menjaga jaringan kekeluargaan. Misalnya seperti yang akan kita lihat kemudian bahawa Islam menekankan kepada perlindungan keluarga. Dalam pada itu pemeliharaan terhadap identiti kanak-kanak dan asuhannya juga dilindungi. Itu sebabnya mengapa zina dan sumbang mahram dilarang dan mendapat hukuman yang berat. Ini membayangkan betapa pentingnya sesebuah keluarga itu dalam pembinaan masyarakat Islam.
Islam tidak membenarkan seseorang individu yang benar-benar bebas untuk melakukan apa sahaja yang dia mahu, bila-bila masa dia mahu. Justeru mana-mana sistem yang cuba untuk membuat individu sebagai unit asas masyarakat dan memberinya kebebasan tidak terbatas, tidak boleh diharapkan untuk mengujudkan ikatan dan keperluan yang semulajadi antara ahli-ahli dalam masyarakatnya. Jadi dari pandangan Islam, sesebuah keluarga yang kukuh teguh adalah terbina tiga faktor iaitu:
1. tali persaudaraan atau pertalian darah,
2. komitmen perkahwinan,
3. iman.


Tali persaudaraan dan pertalian darah adalah merupakan hubungan yang paling kukuh antara seorang individu dengan yang lainnya. Misalnya kasih sayang seorang ibu tidak boleh diganti dengan seorang yang lain, sesebuah keluarga tidak boleh didirikan dengan mengambil anak angkat dengan pengambilan anak yatim piatu atau kanak-kanak terbiar, walaupun dibenarkan tetapi tidak boleh dibin atau dibintikan nama keluarga yang mengambilnya dan tidak juga mendapat hak-hak seperti seorang waris.
Perkahwinan adalah satu caranya untuk menghubungkan antara sebuah keluarga dengan sebuah keluarga yang lain. Tidak ada kaedah lain yang dapat membina hubungan yang aman dan damai. Hubungan seksual dan pemeliharaan kanak-kanak yang dibina dengan penggubalan undang-undang yang membenarkan keintiman seksual suka sama suka, tinggal bersama dan sebagainya tidak menjamin untuk melahirkan sesebuah keluarga.
Faktor yang sangat penting dalam pembinaan sesebuah keluarga yang utuh dan kukuh tidak lain dan tidak bukan ialah iman dan komitmen kepada Islam. Kita lihat, jika sesebuah keluarga yang setiap ahli di dalamnya mempunyai matlamat dan minat yang sama, citarasa yang sama, pegangan dan kepercayaan yang sama, pastinya akan berada dalam iklim yang paling harmoni berbanding dengan keluarga yang terdiri daripada individu yang berlainan fahaman dan agama.
Dalam sesetengah kes, iman mengatasi komitmen persaudaraan atau perkahwinan. Misalnya seseorang Islam boleh sahaja memberi kasih sayang dan menjaga ibu bapanya dengan penuh hormat dan hemah walaupun mereka bukan beragama Islam, cuma dia tidak dibenarkan untuk mematuhi kehendak ibu bapanya dalam hal-hal yang bercanggah dengan Islam. Umpamanya dia tidak boleh mentaati kedua ibu bapanya jika diminta mempercayai kepada tuhan-tuhan selain daripada Allah yang Maha Esa, atau melakukan apa-apa tindakan yang protes kepada Tuhan. Malah dalam keadaan sebegini seseorang yang beragama Islam dibenarkan menentang ibu bapa sendiri atau anak-anaknya jika mereka aktif sentiasa mencari peluang untuk menentang atau mempersoalkan kedudukan agama Islam dan kepentingan umat Islam.
Terdapat banyak sejarah terkenal, yang menunjukkan bahawa iman memang tidak boleh dijual-beli. Misalnya sejarah Nabi Noh - baginda tidak mahu menyelamatkan anak yang derhaka itu dari bencana banjir; kes Nabi Ibrahim dengan bapanya yang menjadi kepala berhala; Nabi Lot dengan isterinya yang tidak bermoral, malah pada zaman Nabi Muhammad juga mencatat sejarah mengenai sahabat-sahabatnya yang tidak sebulu dengan bapanya, ibunya atau anak yang tidak seagama dengannya. Kesemuanya atas faktor iman.
Iman juga boleh mengatasi dan memutuskan hubungan silaturrahim yang terbina daripada perkahwinan. Misalnya seorang isteri yang memeluk agama Islam dikehendaki menceraikan suaminya yang terus kekal sebagai bukan Islam. Iman jugalah yang akan menentukan sama ada seorang wanita atau lelaki yang walaupun sama-sama Islam boleh berkahwin atau tidak. 

No comments: