11 February 2016

Manusia adalah makhluk sosial



Dalam Islam, hubungan antara seorang dengan yang lain adalah suatu fitrah (atau biasa disebut natural). Sesiapapun tidak boleh hidup sendirian, atas alasan apa sekalipun.
Ada satu riwayat yang menyebut tentang seorang lelaki yang terpikat dengan sebuah lembah hijau dan nyaman, lalu dia berangan-angan untuk tinggal di situ, membayangkan betapa indahnya tinggal di tempat itu sendirian, bersama alam semulajadi, dan beribadat kepada Allah, tidak akan menyakiti orang lain atau tiada orang akan menyakiti dirinya. Lantas dia menemui Nabi dan memaklumkan apa yang telah dilihatnya dan menyatakan sekali hajatnya, malangnya baginda tidak membenarkannya.
Walaupun manusia memang memerlukan suasana tenang, untuk beruzlah, namun sebagai makhluk sosial, secara semulajadinya memerlukan hidup dalam masyarakat dan berinteraksi dengan yang lain.
Hidup bermasyarakat adalah satu tuntutan nature bagi makhluk sosial seperti manusia dari sejak dilahirkan lagi. Dengan kata lain, manusia tidak perlu dipaksa hidup bermasyarakat, tetapi pengalaman mengajarnya bahawa dia tidak boleh hidup secara berasingan dan bersendirian. Jadi, apa pun jua alasannya, secara nature memang dia akan merasa bahawa dia perlu hidup bersama dengan orang lain dalam sebuah masyarakat, bekerjasama dan berkongsi hidup dengan orang lain. Hal ini pun disebut dalam al-Quran,
‘Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat menggunakan sebahagian yang lain.’ (az-Zukhruf, 43: 32)
Ayat ini menunjukkan bahawa manusia dicipta tidak serupa. Setiap orang mempunyai kelebihan namun tidak sunyi daripada sebarang kekurangan dan kelemahan. Itulah nature kejadian manusia yang Allah swt cipta agar ujud suasana saling memerlukan antara satu sama lain.
Jadi sebenarnya memang Allah sengaja mencipta manusia dalam keadaan yang serba berbeza dari segi fizikal, kapasiti rohani, intelektual dan emosinya; kebolehan dan keupayaan yang tersendiri, mempunyai kelebihan dalam satu-satu bidang, tetapi kekurangan dalam bidang lain. Misalnya seorang yang kaya, banyak wang, daya intelek yang tinggi, tetapi apabila hendak makan buah terpaksa juga mencari orang lain yang menjual buah. Tanpa penjual buah wang yang ada di tangannya tidak berguna sama sekali.
Jika semua orang sama, tidak akan ada keperluan bagi mendapatkan apa-apa perkhidmatan atau bantuan daripada orang lain. Inilah yang menjadikan manusia saling memerlukan, dan mendorong untuk berinteraksi antara satu sama lain, dan inilah asas kehidupan sosial sesebuah masyarakat.

Kepentingan nilai-nilai akhlak dan keperibadian
Dalam kehidupan bermasyarakat, nilai-nilai akhlak dan keperibadian adalah suatu keperluan bagi menjamin keharmoniannya. Akhlak yang baik dan keperibadian yang tinggi melahirkan iklim masyarakat yang stabil dan seimbang, setiap ahlinya mesra satu sama lain. Jika sebaliknya iklim masyarakat akan tegang, mudah tercetus rasa tidak puashati antara individu, dan seterusnya boleh melahirkan kelompok-kelompok kecil yang besar kemungkinannya bertentangan pandangan dan pendapat.
Apakah akhlak dan apakah pula keperibadian? Mengikut Kamus Dewan, akhlak bererti budi pekerti, kelakuan, tabiat, manakala peribadi diberi makna sifat-sifat (kelakuan, sikap dan lain-lain) seseorang yang sudah sebati dengan diri sendiri untuk merupakan wataknya, jadi keperibadian adalah watak.
Sesebuah masyarakat yang harmoni memerlukan ahli-ahlinya yang mempunyai watak mulia secara kolektif. Jika hanya segelintir sahaja yang sedemikian, iklim masyarakat tidak tenteram, tidak stabil. Jadi untuk hidup dalam sebuah masyarakat yang harmoni, individu yang mempunyai watak mulia haruslah kelompok yang majoriti. 
 
Fitrah manusia sebagai makhluk sosial
Seperti yang disebut di atas tadi bahawa manusia saling memerlukan antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan masing-masing. Inilah sebabnya mengapa Nabi melarang hamba Allah dalam riwayat tadi untuk tinggal bersendirian di lembah hijau tersebut, kerana memang dilarang oleh agama (Islam): Islam melarang umatnya hidup menyendiri, tidak ambil peduli hal orang lain. Lagipun dari awal lagi Allah menyatakan bahawa penciptaan manusia bertujuan untuk menjadikannya khalifah di bumi ini. Sebagai khalifah kehidupannya harus berada di tengah-tengah kehidupan bermasyarakat, tidak boleh memencilkan diri.  
Hidup bermasyarakat bererti setiap orang akan terikat dengan satu sistem hidup, yang boleh dikatakan agak kompleks, kerana hidup seseorang adalah berkait dengan keperluan dirinya sendiri dan manusia lain: keperluan jasmani dan rohaninya sendiri, hubungan dengan ahli keluarganya, jirannya, masyarakat setempat dan masyarakat global, yang bererti kita harus berkongsi masa, tempat dan ruang yang sama untuk hidup.
Kebebasannya terhad oleh keperluan manusia lain yang juga mempunyai hak ke atas masa, tempat dan ruang kehidupan. Kerana itu setiap orang harus mempunyai keperibadian dan akhlak mulia bagi menjamin keharmoniannya, termasuklah antaranya ialah tolak ansur dan persefahaman antara seorang individu dengan yang lainnya.
Sebagai khalifah harus mengambil tanggungjawab mengajak membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran (kedua-duanya sekali). Ini memerlukan seseorang berada bersama ahli masyarakat. Jika ada ahli masyarakat yang sikapnya membujur lalu melintang patah, melakukan apa sahaja yang dia mahu dan bila-bila masa yang dia mahu dan di mana yang dia mahu harus dibasmi. Sikap individu atau kelompok kecil yang seperti ini adalah ibarat duri dalam daging yang akan membarah dan merosakkan keharmonian masyarakat.

No comments: